Friday, February 25, 2011

KALAM PENGARAH URUSAN KARISMA IV IRBID 2011

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum w.b.t.

        Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas segala kurniaanNYA dan rahmatNYA. Selawat dan salam dihamparkan ke atas junjungan baginda Nabi Muhammad SAW.

        Salam sejahtera, salam mesra dan salam ukhuwwah diucapkan buat semua penuntut Malaysia di Jordan sama ada siswa mahupun siswi.
Pertama-tamanya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ) kerana memberi ruang & kepercayaan kepada kami mengemudi salah satu program tahunan mereka di sini. Setelah 2 edisi dijalankan di Mafraq & Mutah, akhirnya sirih pulang ke ganggang dan Irbid menjadi tempat persinggahan edisi 2011 ini.

       Kejohanan Sukan Mahasiswa (KARISMA) merupakan kejohanan sukan tahunan untuk penuntut Malaysia di sini. Saban tahun, pelbagai acara sukan disajikan yang menjadi persaingan 4 zon utama iaitu Amman, Irbid, Mafraq & Mutah. Medan sukan inilah menjadi tempat penyatuan semua penuntut dari kalangan bidang pengajian berbeza dan wasilah sukan inilah menjadi pembuka jalan membina semangat ukhuwwah dan muhibbah yang didambakan. Kali ini, dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Irbid Jordan (PERMAI) selaku tuan rumah bakal menyaksikan pengumpulan peserta berjumlah 700 orang berkampung di sini pada 31 Mac, 1& 2 April 2011 ini.

       Sebanyak 10 acara dipertandingkan pada kejohanan kali ini. Semestinya, pengharapan yang menggunung diletakkan oleh kalian kepada kami bagi meneruskan kesinambungan kegemilangan 3 penganjuran KARISMA terawal. Bagi mewakili pihak penganjur KARISMA IV, saya berjanji akan berusaha sedaya upaya memenuhi harapan yang kalian letakkan dan kami akan memastikan kualiti penganjuran pada kali ini lebih cemerlang.
Jikalau tema tahun lepas merupakan ‘Minda Atasi Upaya’, pada tahun ini kami memilih ‘Kualiti Juara Inspirasi Bersama’ yang ingin diperjuangkan. Bagi kami, semua peserta merupakan juara tetapi bukan semua memiliki kualiti juara yang diingini. Terlalu banyak kualiti disiplin diri yang dapat dikenal pasti sepanjang penganjuran sebelum ini. Sikap seperti melewati masa, berkelakuan buruk semasa pertandingan mahupun tidak menghormati satu sama lain masih membelenggui peserta di sini. Akibat kedegilan ini, penganjuran sukan menjadi tercalar dengan insiden pertelingkahan dan saling mencemuh dan lain-lain lagi. Maka, sudah tiba masanya kita keluar dari takuk yang lama dan memperbaharui nilai diri ke arah seorang muslim yang sejati 
dan berakhlak mulia.

       Sesungguhnya objektif KARISMA tidak akan tercapai jikalau tanpa kalian selaku peserta dan tulang belakang. Oleh itu, kami amat mengharapkan komitmen, semangat kesukanan serta kesungguhan kalian sepanjang 3 hari itu bagi memeriahkan lagi KARISMA kali ini. Moga pasukan yang terbaik dan kontinjen yang terbaik bakal menjulang gelaran juara edisi keempat ini.

       Akhir kata, selamat bersiap sedia untuk KARISMA, selamat datang ke sini kelak dan selamat bertanding di temasya sukan ini nanti.
Sekian terima kasih.

KARISMA IV: KUALITI JUARA INSPIRASI BERSAMA


Yang benar;
.................................................
(MUHAMAD AFIQ MU’IZ BIN ARIFIN)
Pengarah Urusan,
Karnival Sukan Mahasiswa SeJordan (KARISMA) Ke-4,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ).

No comments:

Post a Comment